Friday, 12 February 2021

Bahagian 3: Minta Maaf dan Terima Kasih

 Sambungan. 

"Mira, jom jumpa.  Akak ambil mira kat kolej sekarang". Itu ayat yang keluar bila mira jawab telefon.

"Ok".

Mungkin Kak su meminta tolong dia untuk memujuk mira. Mira fikir mira tak akan ubah fikiran walau apa pun yang dia cakap. Dia datang mengambil mira dan kami menuju ke food court dengan menaikinya. Pada mulanya dia hanya bercakap pasal kerugian yang akan mira tanggung jika berhenti.  Tapi semua tu hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kira.  Mira tak kisah pasal untung rugi ni. 

"Akak tahu apa yang akak cakap ni mira tak dengar". Dia tahu bahawa mira tidak memberi sebarang respon sepanjang perbualan ni. Dan itu yang mira mahu tunjukkan padanya, tidak berminat.

"Tapi cuba fikir pasal Kak Su". 

"...."

Apabila dia sebut nama Kak Su, air mata mira terus mengalir. Mira tak berjaya menahan benteng ni.  Dia mula bercakap pasal Kak Su apabila dia tahu yang mira masih ambil berat pasal Kak Su.  Akhirnya mira setuju untuk join semula. Tekad mira untuk berhenti hilang macam itu sahaja.  Selepas pulang ke kolej, mira mesej Kak Su untuk mengatakan mira tak jadi berhenti.  Kak Su balas akan ambil mira malam ni macam biasa. Maka, percubaan mira untuk berhenti kali ni tidak berjaya. Mira ke pusat itu semula malam itu tapi tiada siapa yang mengungkit mengenai hal mira nak berhenti semasa di sana. Kak Su hanya cakap yang Kak Su nak berjaya bersama mira. Masa ni mira betul-betul nak cuba buat bisnes ni untuk kali kedua sehingga berjaya.

Beberapa minggu telah berlalu.  Mira masih melakukan rutin yang sama setiap hari. Siang ke kuliah dan malam ke pusat tersebut bersama Kak Su.  Kadang-kala Kak Su akan membawa kawan Kak Su dan kadang-kala mira akan membawa kawan mira. Walaupun terdapat beberapa orang yang mira bawa tapi tiada satu pun yang mira berjaya rekrut. Hari silih berganti dan semangat mira mula pudar. Kak Su masih bersemangat tetapi mira sudah hilang punca. Hasrat mira untuk berjaya bersama Kak Su telah hilang sekali lagi. Mira rasa tidak selesa setiap kali mira melihat mereka menggunakan taktik yang sama pada orang baru. Mira mula berfikir kalaulah mira tidak terpedaya sewaktu awal-awal di sini. 

Cuti semester selama sebulan hampir tiba dan itu bermakna latihan PALAPES selama seminggu akan bermula. Hanya ini satu-satunya peluang untuk mira berhenti pergi ke pusat itu selama seminggu. Mira sudah tidak berminat ke pusat itu tapi mira tak berani nak nyatakan pada Kak Su kerana mira risau perkara sama akan berlaku.  Kawan Kak Su tentu akan mencari mira sekali lagi memandangkan mereka tahu di mana kolej mira. Beberapa hari sebelum cuti semester bermula, mira beritahu pada Kak Su tentang latihan PALAPES yang perlu mira ikuti selama seminggu.  Kak Su memberitahu upline Kak Su dan mereka akan memastikan samada mira betul-betul tidak dapat datang. Mereka setuju untuk mengecualikan mira daripada aktiviti pusat selama seminggu. Masa ni mira sangat lega kerana tidak perlu ke pusat itu. Rasanya seperti dapat bercuti.  Bayangkan setiap malam mira perlu ke sana sehingga pukul 2 pagi sekadar untuk mengajak orang dan awal pagi esok perlu ke kelas. Mira sangat penat dengan rutin seperti ini. Mira tahu Kak Su lebih penat daripada mira tapi Kak Su tak pernah tunjukkan pada mira. 

Pada malam terakhir kita bertemu, Mira membuat keputusan untuk menghentikan segala perhubungan dengan Kak Su dan kawan-kawan di pusat itu. Kalau boleh mira tak nak guna cara ini.  Mira nak berhenti dengan cara elok tapi mira tak rasa mira boleh tahan bila dipujuk oleh kawan-kawan kat sana.  Mereka sangat pandai bercakap sehingga mira tak mampu nak berkata apa-apa. Akhirnya mira tidak berkata apa-apa mengenai hasrat mira untuk berhenti sekali lagi.  Kak Su berlalu pergi selepas menghantar mira pulang. 

"Kak Su,  maafkan mira". Hanya itu yang mira mampu katakan dalam hati. 

Sepanjang latihan, kadang-kala Kak Su mesej mira untuk bertanya khabar. Mira masih membalas mesej Kak Su kerana tidak mahu Kak Su syak yang mira mahu berhenti. Seminggu telah berlalu dan sudah masanya untuk mira ke pusat itu sekali lagi. Kak Su bertanya bila mira boleh pergi ke pusat itu semula dan kali ni mira tidak membalas mesej Kak Su. Mira terus pulang ke kampung sehari selepas latihan tamat. Selepas itu, mira mendapat banyak mesej dan panggilan daripada Kak Su. Mira tidak membalas dan hanya mengendahkan semua. Hati mira sangat sedih apabila membaca mesej-mesej Kak Su. Kak Su merayu untuk mira telefon semula. Kalaula Kak Su tahu mira tak mahu buat begini tetapi mira dah tak boleh teruskan lagi. Kawan Kak Su pun ada telefon beberapa kali tetapi mira tak angkat. Dalam tempoh ni mira sangat fobia apabila mendengar deringan telefon. Lama kelamaan mesej dan panggilan daripada Kak Su berkurang dan akhirnya berhenti. Mira tahu Kak Su sudah berputus asa.

Bersambung.. 

Sunday, 16 February 2020

Bahagian 2: Minta Maaf dan Terima Kasih

Sambungan.

Malam tu mira mengikut kak su dengan menaiki kereta kak su. Kak su boleh membawa kereta walaupun dengan keadaan yg terbatas. Kak su seorang yang berani. Walaupun sakit, Kak su tak jadikan sakit itu sebagai penghalang. Ini yang membuatkan mira kagum dengan Kak su.

Tempat yang kami tuju merupakan sebuah shopping kompleks dan di situ terdapat sebuah pusat kesihatan. Di dalamnya terdapat banyak kerusi elektrik. Ramai orang yang duduk di kerusi-kerusi tersebut dan Kak su membawa mira mencuba salah satu kerusi di bahagian hadapan sekali. Kak su menerangkan bahawa kerusi ini telah membantu melancarkan peredaran darah dalam badan Kak su dan hasilnya kesihatan kak su semakin baik. Mira juga perasan bahawa pergerakan Kak Su pun semakin baik berbanding dulu. Ramai kawan-kawan kak su di pusat ini yang mengajak mira mencuba kerusi elektrik ini untuk beberapa sesi supaya jerawat muka berkurang. Akhirnya mira mengalah dan bersetuju untuk mengambil pakej 5 sesi.

Sejak malam itu, mira akan pergi ke sana untuk beberapa hari bersama Kak su. Mira menjadi semakin rapat dengan Kak su dan kawan-kawannya. Mira mula perasan bahawa mereka akan datang satu-persatu untuk berbual dengan mira dan akan bertanyakan tentang perancangan masa depan mira dan bagaimana mira ingin mencari duit selepas habis belajar. Tambahan pula kebanyakan mereka sangat muda tetapi berduit dan nampak mewah. Lama-kelamaan mira teringin nak tahu apa yang mereka lakukan sehingga boleh berjaya dalam usia yang muda. Dan inilah permulaan mira terjebak dengan MLM.

Bagi menjadi ahli, mira perlu membayar yuran sebanyak rm1500. Entah kenapa mira begitu ingin menjadi ahli sehinggakan mira sanggup meminjam di sana sini. Akhirnya mira berjaya mengumpulkan duit yang cukup dan dengan rasminya menjadi ahli. Mira merupakan protege pada Kak Su. Kak su sebagai mentor banyak memberikan kata-kata semangat dan nasihat sepanjang mira menjadi ahli. Mungkin kerana Kak su mira boleh bertahan di sana. Kak su pernah ceritakan pada mira bahawa Kak su ingin menjadi orang yang berjaya walaupun kesihatan Kak su tidak mengizinkan. Kak su ingin membuktikan pada keluarga yang Kak su boleh bergantung kepada diri sendiri terutamanya pada adik kak su yang mempunyai penyakit yang sama dengan Kak su. Mira rasa terpukul kerana walaupun mira sihat tetapi mira tidak pernah berfikir macam Kak su. Kadang-kadang mira rasa tuhan tidak adil kerana menjadikan mira seorang yang pendiam dan pasif tetapi sebenarnya ianya tidak seberapa berbanding dengan apa yang Kak su lalui. Kak su sering mengatakan yang Kak su ingin berjaya bersama mira.

Sebelum mira menyertai ramai kawan kak su yang mengatakan bahawa Kak su sangat kuat. Kak su sanggup menyertai semua program walaupun ada aktiviti yang agak lasak. Kak su tetap akan sertai walaupun aktiviti yang boleh dilakukan agak terbatas. Kawan-kawan Kak su akan bergilir-gilir membantu Kak su sepanjang program. Sekarang mira la yang akan memimpin tangan Kak su sepanjang berjalan. Kak su kadang-kadang agak laju sebab cuba untuk menyamai pergerakan orang lain. Kak su pernah terjatuh tetapi nasib baik kecedaran kak su tak begitu teruk. Ini merupakan kali pertama mira nampak Kak su terjatuh dan memang betul kak su tidak mempunyai refleks seperti orang yang sihat.

Beberapa bulan mira menjadi ahli, mira mula merasakan yang mira tak akan dapat melakukannya dengan baik. Semangat mira juga mula jatuh apabila mira tidak dapat mencari ahli yang baru. Mira mula sedar bahawa bisnes ini tidak boleh dilakukan jika tidak mempunyai confident level yang tinggi dan perlu mampu menarik perhatian orang dengan mudah. Selain itu, pelajaran mira mula terabai kerana setiap malam mira perlu ke pusat kesihatan itu bagi mencari ahli baru. Mira rasa sangat letih kerana siang perlu ke kuliah dan malam pula ke sana. Mira mula berfikir untuk menarik diri. Mira tahu Kak su akan sedih tetapi mira sudah tidak mampu.  Suatu hari semasa Kak Su menghantar mira pulang ke kolej, mira memberitahu Kak su sebelum keluar kereta. Mira masih ingat muka kak su masa tu. Kak su tergamam dan tidak berkata apa-apa dan hanya mengangguk. Mira terus keluar tanpa menoleh kebelakang untuk melihat kereta Kak su beredar.

Sampai saja ke bilik mira terus menangis. Mira tahu hati Kak Su hancur dengan keputusan ini dan mira rasa bersalah bila teringatkan Kak su yang sangat mengharapkan mira tapi mira tak mahu lebih lama terjebak. Mira fikir mira sudah tidak perlu ke sana tetapi tiba-tiba telefon bimbit mira berdering. Salah seorang kawan Kak su ajak mira berjumpa berdua. 

Bersambung..


Friday, 22 September 2017

Bahagian 1: Minta Maaf dan Terima Kasih



Malam semalam tiba-tiba teringatkan Kak Su. Sudah hampir lima tahun kita tidak bersua muka sejak habis belajar. Kak Su adalah antara individu yang banyak mengajar Mira. Mira masih ingat kali terakhir kita berjumpa, Mira hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum bila Kak su mengingatkan tentang perjumpaan kita seminggu lagi padahal pada hari itu Mira sudah membuat keputusan untuk tidak berjumpa dengan Kak Su lagi.

Thursday, 29 May 2014

Bantuan Yang Tidak Disangka

Pernahkah mengalami kesusahan dan secara tiba-tiba bantuan datang tanpa diduga yang menyelamatkan anda dari situasi tersebut? Contohnya, anda terasa lapar pada suatu malam dan tiada makanan di dalam peti ais pada hari itu. Anda takut untuk keluar mencari makan seorang diri. Tiba-tiba, jiran sebelah rumah yang jarang anda sapa mengetuk pintu rumah anda. Apabila anda membuka pintu, dia menghulurkan makanan kepada anda dan anda dapat mengisi perut yang kelaparan pada malam itu. Sebenarnya Allah memberi rezeki pada anda melalui jiran anda. Perkara seperti ini banyak terjadi dalam hidup kerana rezeki Allah maha luas!

Saturday, 25 January 2014

Kuih Nugget



Semasa kecil, mak dan abah pernah menghasilkan kuih untuk mencari duit perbelanjaan rumah. Salah satu kuih yang dijual ialah kuih nugget. Memang ada banyak jenis kuih yang dijual tetapi kuih nugget adalah kuih yang terlaris dan paling diminati ramai terutama kanak-kanak dan kuih ini sangat istimewa kerana ianya merupakan kuih ciptaan sendiri abah. Aku sendiri sangat menyukai kuih ini. Kuih nugget adalah kuih yang sangat simple. Ia mendapat nama nugget kerana luaran kuih ini dibalut dengan serbuk nugget sehingga kelihatan seperti nugget dan intinya adalah hotdog bercampur sos cili. Rasanya lebih rangup jika dimakan panas-panas. Yummmmy.

Monday, 20 May 2013

Hidupku Dalam PALAPES UPM




Tahun 2010, bermula pengalamanku menjalani kem latihan tahunan. Walaupun kaki ini terasa berat untuk meninggalkan rumah dan keluarga tetapi hati ini tetap mengingatkan diri bahawa tanggungjawab sebagai pegawai kadet perlu digalas dengan sebaik mungkin. Anggap sahaja ini sebagai salah satu pengembaraan yang tidak mungkin dirasai di tempat lain. Selama tiga minggu latihan dijalankan, pelbagai pengalaman manis, pahit, tawar dan masin telah aku lalui bersama rakan seperjuangan yang lain.

Friday, 10 May 2013

Aku Peminat Kpop



Sekarang ini timbul isu berkenaan Kpop. Baru-baru ini ramai peminat yang tidak berpuas hati apabila terdapat artis dari Korea yang membatalkan konsertnya di Malaysia. Peminat-peminat ini juga banyak disindir oleh sesetengah pihak kerana terlampau fanatik dangan artis-artis dari Kpop sehingga sanggup menghabiskan beribu ringgit semata-mata ingin menyaksikan artis-artis ini secara live.