Pernahkah mengalami kesusahan dan secara tiba-tiba bantuan datang tanpa diduga yang menyelamatkan anda dari situasi tersebut? Contohnya, anda terasa lapar pada suatu malam dan tiada makanan di dalam peti ais pada hari itu. Anda takut untuk keluar mencari makan seorang diri. Tiba-tiba, jiran sebelah rumah yang jarang anda sapa mengetuk pintu rumah anda. Apabila anda membuka pintu, dia menghulurkan makanan kepada anda dan anda dapat mengisi perut yang kelaparan pada malam itu. Sebenarnya Allah memberi rezeki pada anda melalui jiran anda. Perkara seperti ini banyak terjadi dalam hidup kerana rezeki Allah maha luas!
Aku mempunyai sikap tidak suka meminta bantuan orang lain. Aku takut untuk meminta bantuan kerana tidak suka menyusahkan orang lain dengan masalahku. Semasa di universiti, aku masih mempunyai sikap tidak suka meminta bantuan orang lain. Sikap yang ada pada diriku sangat ekstrim. Salah satu peristiwa tersebut berlaku semasa aku menuntut di IPTA. Pada minggu akhir peperiksaan, aku akan tidur lewat malam, menelaah untuk menghadapi peperiksaan bagi subjek teras. Aku menjangkakan kelewatanku esok kerana aku tidur pada jam 3 pagi.
Memang betul, aku terlewat bangun! Dalam keadaan tergesa-gesa, aku terus menyambar beg dan menuju ke dewan peperiksaan. Apabila sampai di dewan, semua pelajar sudah memasuki dewan dan berada di tempat masing-masing. Pegawai peperiksaan sedang mengedarkan kertas. Semasa mengeluarkan alat tulis di dalam beg, aku tidak menjumpai pensel dan pemadam. Bagaimana aku boleh terrtinggal alat tulis yang paling penting? aku menyangka sudah memasukkannya ke dalam beg. Tidak, aku tidak sempat meminjam pada kawan. Mereka sudah duduk di tempat sendiri. Di atas meja mereka juga hanya mempunyai sebatang pensel sahaja. Aku cuba bersikap selamba berjalan ke arah meja dengan fikiran yang berserabut. Ada juga terfikir untuk meminta bantuan pegawai peperiksaan tapi tidak tahu mengapa aku berasa sangat takut sekiranya mereka akan memarahiku. Sepanjang tempoh peperiksaan, aku menjawab semua soalan tetapi tidak menanda jawapan. Mataku juga asyik memandang kawan sebelah. aku cuba untuk meminjam dari mereka tapi risau untuk bercakap dalam dewan. Nanti dianggap cuba menipu. Apabila masa semakin tamat, ramai pelajar yang mula keluar dewan. Aku terfikir untuk meminjam pensel kawan yang sudah habis menjawab tapi entah mengapa aku tidak berbuat begitu. aku hanya memerhati kawan-kawan yang beransur-ansur keluar dewan.
Semasa aku sedang perhatikan seorang kawanku yang sudah berjalan ke hadapan untuk menyerahkan kertas. Tiba-tiba, dia menyerahkan pensel dan pemadam kepada salah seorang pegawai dan menunjuk ke arahku. Pegawai tersebut menganggukkan kepala. Dia berjalan ke mejaku dan meletakkan alat tulis. YA ALLAH, masa itu aku sangat terkejut dan gembira. Aku berasa malu dengan pegawai tersebut. Mungkin dia pelik kerana aku tidak membawa alat tulis malahan hanya mendiamkan diri tentang perkara itu. Aku sangat bersyukur dan terus menandakan jawapan pada kertas objektif. Tak sangka dia perasan yang aku tidak membawa peralatan walaupun kedudukannya agak jauh denganku. Agaknya sebab beberapa kali aku menoleh sepanjang menjawab menyebabkan orang lain perasan. Mesti ada yang ingat aku sedang meniru. Sekiranya Allah tidak menggerakkan hati kawanku untuk meminjamkan alat tulis, tentu aku tidak dapat menjawab peperiksaan. Ya, aku berasa bersalah tidak bertindak lebih awal untuk meminta bantuan. Kerana banyak berfikir, aku tidak melakukan perkara semudah itu. Akhirnya, aku mendapat A bagi subjek tersebut. Bayangkan jika aku tidak menjawab peperiksaan tersebut, menyesal tak sudahla jawabnya. Alhamdulillah.
p.s : Jangan malu untuk menyuarakan masalah anda kerana tentu ada yang akan membantu.
No comments:
Post a Comment