Friday, 22 September 2017

Bahagian 1: Minta Maaf dan Terima Kasih



Malam semalam tiba-tiba teringatkan Kak Su. Sudah hampir lima tahun kita tidak bersua muka sejak habis belajar. Kak Su adalah antara individu yang banyak mengajar Mira. Mira masih ingat kali terakhir kita berjumpa, Mira hanya menganggukkan kepala sambil tersenyum bila Kak su mengingatkan tentang perjumpaan kita seminggu lagi padahal pada hari itu Mira sudah membuat keputusan untuk tidak berjumpa dengan Kak Su lagi.



Kali pertama kita berjumpa semasa kita sama-sama mengambil kelas Etika Dalam Pengkomputeran di tahun dua. Masa itu, Mira tidak begitu peduli siapa yang belajar di kelas tersebut. Mira hanya perasan Kak Su sebab Kak Su memakai tudung labuh kerana tidak ramai yang bertudung labuh di fakulti ini. Jadi Mira agak pelik kenapa Mira tidak pernah terserempak dengan Kak Su di fakulti sebelum ini sedangkan Mira kenal dengan orang lain yang bertudung labuh kerana jumlahnya hanya sedikit. Tambahan pula, muka Kak Su sentiasa pucat dan Kak Su juga tidak bercakap langsung di dalam kelas.

Suatu hari, Mira datang awal dan masa itu hanya Kak Su sahaja di dalam kelas.

"Pelajar lain masih tak sampai lagi?" Mira memulakan perbualan.

Kak Su hanya memandang mira dan mengangguk sahaja. Pada masa itu, Mira menganggap Kak Su merupakan seorang yang sangat pendiam, lebih pendiam daripada Mira. Semasa presentation dalam kelas, Kak Su juga langsung tidak bercakap di hadapan, walaupun pelajar yang lain hanya diam menunggu Kak Su bercakap. Kak Su tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun, sehingga lecturer terpaksa menyuruh Kak Su duduk semula. Masa itu, Mira langsung tak mengerti kenapa Kak Su tak bercakap langsung sedangkan Mira boleh nampak yang Kak Su seperti mahu berkata sesuatu. Dan semester kali ini tamat begitu sahaja tanpa terjadi apa-apa. Mira menganggap pertemuan dengan Kak Su pada semester ini adalah yang terakhir.

Namun pada tahun ketiga sem 1, Mira terlibat dengan aktiviti persatuan dan berjumpa semula dengan Kak Su. Pada masa itu Kak Su yang pertama menegur Mira. Mira agak terkejut kerana itu kali pertama Kak Su bercakap dengan Mira dan ada sesuatu yang tidak kena dengan pertuturan Kak Su. Kak Su menyebut setiap patah perkataan dengan perlahan dan satu persatu. Kak Su juga sentiasa tersenyum. Sangat-sangat berlainan dari sem lepas. Ketika itu ada seorang perempuan yang sentiasa memimpin Kak su semasa Kak Su berjalan. Mira dapat tahu daripada salah seorang ahli di situ bahawa Kak Su menghidap penyakit Spinocerebellar ataxia (SCA). Mira mula mengkaji tentang penyakit ini dan mendapat tahu bahawa mereka yang menghidapi penyakit ini akan mengalami kemerosotan pada saraf tunjang dan serebelum pada bahagian otak. Pada masa itu, baru Mira mengerti mengapa Kak Su langsung tidak bercakap di dalam kelas, mengapa muka Kak Su sentiasa pucat dan mengapa Kak Su berjalan dengan perlahan terutama ketika mengunakan tangga. Kak Su mempunyai masalah untuk mengawal anggota badan Kak Su. Walaupun Kak Su berfikir seperti orang normal tetapi anggota Kak Su tidak mempunyai refleks yang normal. Contohnya, sekiranya orang yang normal terjatuh, tangan mereka akan menahan secara automotik supaya muka tidak terhempap ke tanah tetapi apabila Kak Su terjatuh, tangan Kak Su tidak menahan secara automatik dan boleh menyebabkan kecederaan pada muka. Malahan, Kak Su juga tidak dapat bercakap seperti orang normal kerana sangat susah bagi Kak Su untuk menyebut sesuatu perkataan.

Aturan Allah sangat hebat, pada sem itu juga kita berdua menjadi AJK untuk satu aktiviti yang dilaksanakan oleh persatuan. Kita diamanahkan untuk menghasilkan satu poster sempena acara tersebut. Sewaktu bertemu untuk membincangkan tugas masing-masing, kita berdua berpeluang untuk berbual dengan panjang lebar. Walaupun pada mulanya agak sukar untuk Mira memahami pertuturan Kak Su, tetapi semakin lama Mira menjadi semakin biasa. Sebelum berpisah, Kak Su mengajak Mira pergi ke tempat Kak Su berubat kerana tempat tersebut dapat mengubati pelbagai penyakit. Seminggu kemudian, Kak Su menghubungi Mira dan mengajak Mira ke tempat tersebut dan Mira bersetuju tanpa mengesyaki apa-apa.

Bersambung.. kalau rajin hehe

No comments:

Post a Comment