Saturday, 25 January 2014

Kuih Nugget



Semasa kecil, mak dan abah pernah menghasilkan kuih untuk mencari duit perbelanjaan rumah. Salah satu kuih yang dijual ialah kuih nugget. Memang ada banyak jenis kuih yang dijual tetapi kuih nugget adalah kuih yang terlaris dan paling diminati ramai terutama kanak-kanak dan kuih ini sangat istimewa kerana ianya merupakan kuih ciptaan sendiri abah. Aku sendiri sangat menyukai kuih ini. Kuih nugget adalah kuih yang sangat simple. Ia mendapat nama nugget kerana luaran kuih ini dibalut dengan serbuk nugget sehingga kelihatan seperti nugget dan intinya adalah hotdog bercampur sos cili. Rasanya lebih rangup jika dimakan panas-panas. Yummmmy.


Pembuatan kuih ini bermula semasa kami tinggal di Kem Tanah Merah. Selain kuih nugget, mak dan abah menjual kuih dugong dan kek span. Tetapi kuih nugget lebih popular sehinggakan kawan sekolahku akan menempah kuih ini setiap hari kerana dia tahu ayah dan makku menjual kuih ini. Pada mulanya, hanya seorang sahaja yang selalu menempah kuih ini dan setiap hari aku akan membawa kuih nugget yang ditempah ke sekolah. Sehinggalah pada suatu hari terjadi peristiwa yang agak pelik dan kelakar bagiku. Seperti biasa, aku membawa beberapa biji kuih nugget yang ditempah oleh kawanku dan aku meletakkan kuih tersebut di atas meja di dalam kelas. Aku bercadang menyerahkannya pada waktu rehat nanti. Semasa cikguku mengajar, dia berjalan ke arahku dan kemudian berhenti di sisiku. Matanya memandang  ke arah plastik yang berada di atas mejaku.

"Mirah, apa benda yang mirah bawa ni?" Sambil cikguku mencapai plastik tersebut.

"Kuih nugget, cikgu".

"Kuih nugget? Mirah beli dekat mana kuih ni?".

"Saya tak beli. Saya bawa dari rumah. Mak saya yang buat kuih ni".

"Ye ke? Boleh tak bagi cikgu rasa kuih ni?".

Aku agak terkejut dan teragak-agak aku menjawab, "Tak boleh cikgu. Ni kawan saya punya. Dia dah tempah semalam". 

"Ala, bolehla. Nanti mirah bawa kuih ni lagi esok untuk kawan mirah. Boleh ye?".

Sekilas aku memandang rakanku yang menempah kuih tersebut. "Emm, okla. cikgu boleh rasa". Akhirnya aku mengalah jua lebih-lebih lagi dia adalah cikguku.

"Terima Kasih ye mirah".

Aku hanya tersenyum dan cikgu mengambil sebiji kuih nugget yang di bawaku. Selepas merasa kuih tersebut, tiba-tiba cikgu berkata kepada kawan-kawan sekelasku,

"Hmm, sedapnya kuih ni! Sapa-sapa yang nak rasa kuih ni boleh tempah kat mirah ye. Cepat-cepat sebelum habis!". 

Aku tergamam mendengar kata-kata cikguku dan sekelip mata semua rakan sekelasku terus mengemuruniku dan berebut-rebut menempah kuih nugget padaku. Tergesa-gesa aku mencapai pensel dan terus menulis senarai tempahan. Aku tersenyum kerana tiba-tiba kuih nugget ini mendapat sambutan.

Sampai sahaja di rumah, aku terus memberikan senarai tempahan kepada mak. Mak sangat terkejut kerana jumlah tempahan yang banyak. Aku menceritakan kejadian di sekolah kepada mak dan mak tergelak mendengar ceritaku. Malam itu, mak membuat kuih nugget sehingga lewat malam. Aku kasihan melihat mak terpaksa menyediakan 100 biji kuih nugget yang ditempah rakan-rakanku di samping menyediakan kuih jualan lain tetapi aku sudah berjanji dengan mereka. Mak mengatakan ini adalah yang terakhir. Selepas ini, aku tidak boleh menerima tempahan lagi. Mak kata dia akan membenarkan aku membawa sejumlah kuih sahaja ke sekolah untuk dijual tetapi tidak boleh mengambil tempahan. Aku hanya mengangguk setuju.

Paling menyeksakan esoknya aku terpaksa menggalas beg besar yang berisi 100 biji kuih nugget ke sekolah. Setiap hari, aku menaiki trak tentera yang disediakan pihak kem kepada anak-anak tentera yang ke sekolah. Trak tersebut juga dinaiki oleh pelajar-pelajar dari sekolah yang lain. Apabila mereka melihat beg tersebut, mereka terus bertanya isi di dalam beg tersebut. Mereka ingin menempahnya dan aku terpaksa menolak. Selepas kejadian tersebut, aku akan membawa kuih nugget ke sekolah untuk dijual. Walaubagaimanapun, kuih ini akan habis sebelum aku sampai ke sekolah. Pelajar-pelajar di dalam trak akan membeli kuih nugget ini sampai habis. Apabila sampai ke sekolah,  tiada lagi kuih yang tinggal untuk dijual. Apabila rakan-rakan bertanyakan kuih nugget, aku terpaksa menggelengkan kepala. Begitulah popularnya kuih nugget ini dulu tetapi kini mak dan abah sudah tidak menjual kuih ini lagi. Mak akan membuat kuih ini untuk dimakan sahaja.

Dulu, aku tidak suka apabila mak menjual kuih kerana aku terpaksa membasuh bekas-bekas yang digunakan terutamanya bekas kuih kek span. Tugas membasuh bekas kuih kek span adalah tugas yang paling leceh kerana terlampau banyak bekas yang perlu dibasuh. Selain itu, aku dan kakakku akan menolong mengaul tepung setiap petang untuk digunakan mak esok. Kini, Aku tidak perlu lagi melakukan tugas-tugas tersebut. Mungkin kerana itu aku agak merindukan zaman tersebut.

2207
Sabtu
25/01/2014



3 comments:

  1. Salam perkenalan...meleleh air liur akak baca psl kuih nugget ptg2 mcm ni....hehehe....pkongsian yg menarik, tq mirah ;-)

    ReplyDelete
  2. Salam.. mmg cedap ni! haha.. welcome.. =D

    ReplyDelete
  3. Sloty Casino Map - New Jersey - MapyRO
    Find the best Sloty Casino in 구미 출장마사지 New Jersey with 20+ slot games for sale online at MapyRO. Sloty 대구광역 출장안마 Casino Map - 포항 출장샵 20+ slot games for 울산광역 출장안마 fun - MapyRO - 광양 출장샵

    ReplyDelete