Friday, 10 May 2013

Aku Peminat Kpop



Sekarang ini timbul isu berkenaan Kpop. Baru-baru ini ramai peminat yang tidak berpuas hati apabila terdapat artis dari Korea yang membatalkan konsertnya di Malaysia. Peminat-peminat ini juga banyak disindir oleh sesetengah pihak kerana terlampau fanatik dangan artis-artis dari Kpop sehingga sanggup menghabiskan beribu ringgit semata-mata ingin menyaksikan artis-artis ini secara live. 
Aku tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak tetapi sebenarnya agak sedih apabila terdapat segelintir umat Islam di Malaysia terutamanya golongan pemuda Islam yang mengorbankan wang ringgit dan masa untuk hiburan Kpop ini. Alangkah bagus sekiranya mereka menggunakannya di jalan Allah swt dan membantu menegakkan agama Allah swt di muka bumi ini. Tentunya mereka yang paling beruntung di akhirat kelak tetapi amat sedikit yang mengetahuinya.  Allah berfirman:

"Hai orang-orang beriman! Adakah kamu suka kalau aku tunjukkan (kepada kamu) suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan kamu berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga kamu, yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya."
(As Saff :10 -11) 

Aku juga tidak begitu suka apabila sesetengah pihak menyindir peminat-peminat ini dengan kata-kata kesat. Niat mereka yang ingin menegur adalah baik tetapi cara yang dilakukan menyebabkan peminat Kpop lebih marah. Ibarat menyimbah minyak ke dalam api. Mungkin peminat-peminat ini mampu menerimanya jika cara yang digunakan lebih berhemah.

Tentu anda fikir aku bukan peminat Kpop, jadi tiada masalah kalau tiada Kpop. Sebenarnya aku juga sangat meminati lagu-lagu Kpop. Malahan, aku paling suka tengok drama-drama Korea. Aku sanggup tidak tidur malam semata-mata nak habiskan semua episod dalam sehari. Dalam handphone aku ada berpuluh-puluh lagu Kpop yang aku download terutamanya CN BLUE, Super Junior, Big Bang, SNSD dan macam-macam lagi. Setiap kumpulan Kpop yang aku minat, aku selidik biodata mereka dan kenal setiap seorang daripada mereka. Contohnya, Super Junior yang mempunyai 13 ahli. Memang aku kenal setiap ahlinya. Aku juga akan menonton video mereka untuk mengenali watak mereka. Bagi peminat Kpop, anda tentu faham perasaan tidak dapat berhenti untuk menyaksikan video mereka. Samalah sepertiku yang akan berpindah dari satu video ke satu video yang lain sehingga puas.

Aku mula mengenal Kpop semasa di universiti apabila aku mendengarnya dari handpone sepupuku. Benarlah kata orang, jatuh cinta pandang dengar pertama. Sejak itu, aku mula mencari dan menonton video klip Kpop. Tarian dan nyanyian mereka sangat memukau. Seperti ada satu tarikan yang menyebabkan kita ingin menontonnya berulang kali.

Lama-kelamaan aku mula rasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan diriku. Aku menghabiskan kebanyakan masaku dengan Kpop sehinga melambatkan solat, kuliah-kuliah agama aku tinggalkan, al-quran pun jarang baca. Meminati Kpop tidak salah tetapi apabila ianya mula melalaikan dan menjauhkan kita daripada Allah swt maka ianya adalah memudaratkan dan mungkin akan menjadi dosa buat kita.

Aku tidak menghalang peminat-peminat Kpop untuk meneruskan minat mereka tetapi cuba mengawalnya supaya tidak berlebihan. Aku bukan seorang yang berilmu tinggi dalam agama. Tetapi percayalah apabila aku katakan kita akan menyesal di akhirat kelak. Manusia di akhirat kelak akan ditunjukkan amalan-amalan yang mereka lakukan di dunia.

Apabila kita melihat diri kita menderma RM50, kita akan katakan,

"Kalaulah aku menderma lebih banyak lagi".

Apabila kita melihat diri kita berpuasa wajib, kita akan katakan,

"Kalaulah aku berpuasa sunat lebih banyak lagi".

Apabila kita melihat diri membaca satu muka surat al-quran, kita akan katakan,

"Kalaulah aku mengkhatamkan al-quran itu". Dan begitulah seterusnya. Marilah kita memikirkannya sejenak.  

Dan sekiranya kita melihat diri kita menghabiskan masa dengan Kpop kita akan menyalahkan Kpop itu sendiri dan membencinya walaupun semasa di dunia kitalah peminat nombor satu mereka. Jika kita mementingkan Allah swt melebihi segalanya, kita akan memandang segala hiburan yang melalaikan sebagai satu perkara yang mampu menghalang kita bertemu Allah swt. Ingin saya tekankan hiburan tidak salah di sisi agama., hanya cara kita menggunakannya akan menjadikannya dosa atau pahala.

Apabila memikirkan nasib aku di akhirat kelak, aku takut sekiranya aku tidak mendapat syafaat Rasulullah, aku takut tidak dapat melintasi titian Siratul Mustaqim, aku takut timbangan Al-Mizan yang tidak menyebelahiku dan aku takut tidak dapat bertemu Allah swt. Ketakutan ini timbul kerana amalan ku di dunia amatlah sedikit.

Menyedari Kpop tidak mampu memberi manfaat, aku mula berhenti sedikit demi sedikit. Aku mulakan dengam memadam semua lagu-lagu Kpop yang terdapat pada handphone dan laptop. Sekarang hanya tinggal dua tiga lagu yang masih aku simpan. Aku berhenti mencari video-video Kpop dan mengurangkan kunjungan aku ke laman sesawang Kpop. Sebagai alternatif, aku mendengar lagu-lagu nasyid yang tidak kurang hebatnya malah lebih menenangkan hati, Memang sukar tetapi aku mampu mengawal diriku daripada menonton Kpop setiap hari.

Penulisan ini sebenarnya tidak terhad kepada Kpop sahaja tetapi juga kepada anime, manga, manhwa, games dan lain-lain. Well, aku juga peminat semua benda tersebut jadi aku faham betapa seksanya untuk berhenti meminatinya. Cara yang paling berkesan ialah memohon pertolongan Allah swt untuk membimbing kita.

 Ingat! Kita tidak akan selama-lamanya hidup di dunia ini. Biarlah kita terseksa di dunia tetapi di akhirat kita bahagia. (>_<).

p/s : Semoga satu hari nanti aku dapat berhenti terus. hmmm..

0239
Sabtu
11/05/2013
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------
nota :
  • Siratul Mustaqim - wujud hasil daripada jalan hidup yang kita pilih selama tinggal di dunia. Siapa yang memilih jalan Allah swt, sambil bepegang teguh dengan syariat Islam, maka akan mudah dilalui untuk sampai ke syurga idaman. Sebaliknya, siapa yang enggan melalui jalan Allah swt ini, lalu memilih jalan hidup yang bebas daripada aturan halal-haram, maka hari itu sirat yang akan dilaluinya menjadi sangat sempit dan sukar dilalui. Golongan ini akan tergelincir dari titian lalu jatuh melayang-layang ke dalam neraka jahannam selama-lamanya.
  •  Al-Mizan - neraca yang Allah swt letakkan pada hari kiamat untuk menimbang amalan hamba-Nya.

2 comments: