Pernahkah mengalami kesusahan dan secara tiba-tiba bantuan datang tanpa diduga yang menyelamatkan anda dari situasi tersebut? Contohnya, anda terasa lapar pada suatu malam dan tiada makanan di dalam peti ais pada hari itu. Anda takut untuk keluar mencari makan seorang diri. Tiba-tiba, jiran sebelah rumah yang jarang anda sapa mengetuk pintu rumah anda. Apabila anda membuka pintu, dia menghulurkan makanan kepada anda dan anda dapat mengisi perut yang kelaparan pada malam itu. Sebenarnya Allah memberi rezeki pada anda melalui jiran anda. Perkara seperti ini banyak terjadi dalam hidup kerana rezeki Allah maha luas!