Friday, 12 February 2021

Bahagian 3: Minta Maaf dan Terima Kasih

 Sambungan. 

"Mira, jom jumpa.  Akak ambil mira kat kolej sekarang". Itu ayat yang keluar bila mira jawab telefon.

"Ok".

Mungkin Kak su meminta tolong dia untuk memujuk mira. Mira fikir mira tak akan ubah fikiran walau apa pun yang dia cakap. Dia datang mengambil mira dan kami menuju ke food court dengan menaikinya. Pada mulanya dia hanya bercakap pasal kerugian yang akan mira tanggung jika berhenti.  Tapi semua tu hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kira.  Mira tak kisah pasal untung rugi ni. 

"Akak tahu apa yang akak cakap ni mira tak dengar". Dia tahu bahawa mira tidak memberi sebarang respon sepanjang perbualan ni. Dan itu yang mira mahu tunjukkan padanya, tidak berminat.

"Tapi cuba fikir pasal Kak Su". 

"...."

Apabila dia sebut nama Kak Su, air mata mira terus mengalir. Mira tak berjaya menahan benteng ni.  Dia mula bercakap pasal Kak Su apabila dia tahu yang mira masih ambil berat pasal Kak Su.  Akhirnya mira setuju untuk join semula. Tekad mira untuk berhenti hilang macam itu sahaja.  Selepas pulang ke kolej, mira mesej Kak Su untuk mengatakan mira tak jadi berhenti.  Kak Su balas akan ambil mira malam ni macam biasa. Maka, percubaan mira untuk berhenti kali ni tidak berjaya. Mira ke pusat itu semula malam itu tapi tiada siapa yang mengungkit mengenai hal mira nak berhenti semasa di sana. Kak Su hanya cakap yang Kak Su nak berjaya bersama mira. Masa ni mira betul-betul nak cuba buat bisnes ni untuk kali kedua sehingga berjaya.

Beberapa minggu telah berlalu.  Mira masih melakukan rutin yang sama setiap hari. Siang ke kuliah dan malam ke pusat tersebut bersama Kak Su.  Kadang-kala Kak Su akan membawa kawan Kak Su dan kadang-kala mira akan membawa kawan mira. Walaupun terdapat beberapa orang yang mira bawa tapi tiada satu pun yang mira berjaya rekrut. Hari silih berganti dan semangat mira mula pudar. Kak Su masih bersemangat tetapi mira sudah hilang punca. Hasrat mira untuk berjaya bersama Kak Su telah hilang sekali lagi. Mira rasa tidak selesa setiap kali mira melihat mereka menggunakan taktik yang sama pada orang baru. Mira mula berfikir kalaulah mira tidak terpedaya sewaktu awal-awal di sini. 

Cuti semester selama sebulan hampir tiba dan itu bermakna latihan PALAPES selama seminggu akan bermula. Hanya ini satu-satunya peluang untuk mira berhenti pergi ke pusat itu selama seminggu. Mira sudah tidak berminat ke pusat itu tapi mira tak berani nak nyatakan pada Kak Su kerana mira risau perkara sama akan berlaku.  Kawan Kak Su tentu akan mencari mira sekali lagi memandangkan mereka tahu di mana kolej mira. Beberapa hari sebelum cuti semester bermula, mira beritahu pada Kak Su tentang latihan PALAPES yang perlu mira ikuti selama seminggu.  Kak Su memberitahu upline Kak Su dan mereka akan memastikan samada mira betul-betul tidak dapat datang. Mereka setuju untuk mengecualikan mira daripada aktiviti pusat selama seminggu. Masa ni mira sangat lega kerana tidak perlu ke pusat itu. Rasanya seperti dapat bercuti.  Bayangkan setiap malam mira perlu ke sana sehingga pukul 2 pagi sekadar untuk mengajak orang dan awal pagi esok perlu ke kelas. Mira sangat penat dengan rutin seperti ini. Mira tahu Kak Su lebih penat daripada mira tapi Kak Su tak pernah tunjukkan pada mira. 

Pada malam terakhir kita bertemu, Mira membuat keputusan untuk menghentikan segala perhubungan dengan Kak Su dan kawan-kawan di pusat itu. Kalau boleh mira tak nak guna cara ini.  Mira nak berhenti dengan cara elok tapi mira tak rasa mira boleh tahan bila dipujuk oleh kawan-kawan kat sana.  Mereka sangat pandai bercakap sehingga mira tak mampu nak berkata apa-apa. Akhirnya mira tidak berkata apa-apa mengenai hasrat mira untuk berhenti sekali lagi.  Kak Su berlalu pergi selepas menghantar mira pulang. 

"Kak Su,  maafkan mira". Hanya itu yang mira mampu katakan dalam hati. 

Sepanjang latihan, kadang-kala Kak Su mesej mira untuk bertanya khabar. Mira masih membalas mesej Kak Su kerana tidak mahu Kak Su syak yang mira mahu berhenti. Seminggu telah berlalu dan sudah masanya untuk mira ke pusat itu sekali lagi. Kak Su bertanya bila mira boleh pergi ke pusat itu semula dan kali ni mira tidak membalas mesej Kak Su. Mira terus pulang ke kampung sehari selepas latihan tamat. Selepas itu, mira mendapat banyak mesej dan panggilan daripada Kak Su. Mira tidak membalas dan hanya mengendahkan semua. Hati mira sangat sedih apabila membaca mesej-mesej Kak Su. Kak Su merayu untuk mira telefon semula. Kalaula Kak Su tahu mira tak mahu buat begini tetapi mira dah tak boleh teruskan lagi. Kawan Kak Su pun ada telefon beberapa kali tetapi mira tak angkat. Dalam tempoh ni mira sangat fobia apabila mendengar deringan telefon. Lama kelamaan mesej dan panggilan daripada Kak Su berkurang dan akhirnya berhenti. Mira tahu Kak Su sudah berputus asa.

Bersambung..