Sambungan.
Malam tu mira mengikut kak su dengan menaiki kereta kak su. Kak su boleh membawa kereta walaupun dengan keadaan yg terbatas. Kak su seorang yang berani. Walaupun sakit, Kak su tak jadikan sakit itu sebagai penghalang. Ini yang membuatkan mira kagum dengan Kak su.
Tempat yang kami tuju merupakan sebuah shopping kompleks dan di situ terdapat sebuah pusat kesihatan. Di dalamnya terdapat banyak kerusi elektrik. Ramai orang yang duduk di kerusi-kerusi tersebut dan Kak su membawa mira mencuba salah satu kerusi di bahagian hadapan sekali. Kak su menerangkan bahawa kerusi ini telah membantu melancarkan peredaran darah dalam badan Kak su dan hasilnya kesihatan kak su semakin baik. Mira juga perasan bahawa pergerakan Kak Su pun semakin baik berbanding dulu. Ramai kawan-kawan kak su di pusat ini yang mengajak mira mencuba kerusi elektrik ini untuk beberapa sesi supaya jerawat muka berkurang. Akhirnya mira mengalah dan bersetuju untuk mengambil pakej 5 sesi.
Sejak malam itu, mira akan pergi ke sana untuk beberapa hari bersama Kak su. Mira menjadi semakin rapat dengan Kak su dan kawan-kawannya. Mira mula perasan bahawa mereka akan datang satu-persatu untuk berbual dengan mira dan akan bertanyakan tentang perancangan masa depan mira dan bagaimana mira ingin mencari duit selepas habis belajar. Tambahan pula kebanyakan mereka sangat muda tetapi berduit dan nampak mewah. Lama-kelamaan mira teringin nak tahu apa yang mereka lakukan sehingga boleh berjaya dalam usia yang muda. Dan inilah permulaan mira terjebak dengan MLM.
Bagi menjadi ahli, mira perlu membayar yuran sebanyak rm1500. Entah kenapa mira begitu ingin menjadi ahli sehinggakan mira sanggup meminjam di sana sini. Akhirnya mira berjaya mengumpulkan duit yang cukup dan dengan rasminya menjadi ahli. Mira merupakan protege pada Kak Su. Kak su sebagai mentor banyak memberikan kata-kata semangat dan nasihat sepanjang mira menjadi ahli. Mungkin kerana Kak su mira boleh bertahan di sana. Kak su pernah ceritakan pada mira bahawa Kak su ingin menjadi orang yang berjaya walaupun kesihatan Kak su tidak mengizinkan. Kak su ingin membuktikan pada keluarga yang Kak su boleh bergantung kepada diri sendiri terutamanya pada adik kak su yang mempunyai penyakit yang sama dengan Kak su. Mira rasa terpukul kerana walaupun mira sihat tetapi mira tidak pernah berfikir macam Kak su. Kadang-kadang mira rasa tuhan tidak adil kerana menjadikan mira seorang yang pendiam dan pasif tetapi sebenarnya ianya tidak seberapa berbanding dengan apa yang Kak su lalui. Kak su sering mengatakan yang Kak su ingin berjaya bersama mira.
Sebelum mira menyertai ramai kawan kak su yang mengatakan bahawa Kak su sangat kuat. Kak su sanggup menyertai semua program walaupun ada aktiviti yang agak lasak. Kak su tetap akan sertai walaupun aktiviti yang boleh dilakukan agak terbatas. Kawan-kawan Kak su akan bergilir-gilir membantu Kak su sepanjang program. Sekarang mira la yang akan memimpin tangan Kak su sepanjang berjalan. Kak su kadang-kadang agak laju sebab cuba untuk menyamai pergerakan orang lain. Kak su pernah terjatuh tetapi nasib baik kecedaran kak su tak begitu teruk. Ini merupakan kali pertama mira nampak Kak su terjatuh dan memang betul kak su tidak mempunyai refleks seperti orang yang sihat.
Beberapa bulan mira menjadi ahli, mira mula merasakan yang mira tak akan dapat melakukannya dengan baik. Semangat mira juga mula jatuh apabila mira tidak dapat mencari ahli yang baru. Mira mula sedar bahawa bisnes ini tidak boleh dilakukan jika tidak mempunyai confident level yang tinggi dan perlu mampu menarik perhatian orang dengan mudah. Selain itu, pelajaran mira mula terabai kerana setiap malam mira perlu ke pusat kesihatan itu bagi mencari ahli baru. Mira rasa sangat letih kerana siang perlu ke kuliah dan malam pula ke sana. Mira mula berfikir untuk menarik diri. Mira tahu Kak su akan sedih tetapi mira sudah tidak mampu. Suatu hari semasa Kak Su menghantar mira pulang ke kolej, mira memberitahu Kak su sebelum keluar kereta. Mira masih ingat muka kak su masa tu. Kak su tergamam dan tidak berkata apa-apa dan hanya mengangguk. Mira terus keluar tanpa menoleh kebelakang untuk melihat kereta Kak su beredar.
Sampai saja ke bilik mira terus menangis. Mira tahu hati Kak Su hancur dengan keputusan ini dan mira rasa bersalah bila teringatkan Kak su yang sangat mengharapkan mira tapi mira tak mahu lebih lama terjebak. Mira fikir mira sudah tidak perlu ke sana tetapi tiba-tiba telefon bimbit mira berdering. Salah seorang kawan Kak su ajak mira berjumpa berdua.
Bersambung..